Analisa Keputusan Peperiksaan STPM 2008

Seramai 46,277 atau 92.26 peratus daripada 66,047 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008, lulus penuh atau peringkat prinsipal bagi sekurang-kurang satu mata pelajaran, meningkat 0.65 berbanding 91.61 peratus pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 3,437 atau 6.85 peratus calon lulus penuh lima mata pelajaran, 18,686 (37.25 peratus) empat mata pelajaran, 10,068 (20.07 peratus) tiga mata pelajaran 7,635 (15.22 peratus) dua mata pelajaran serta 6,451 (12.86 peratus) satu mata pelajaran.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, berkata 236 calon memperoleh prinsipal A dalam semua subjek iaitu masing-masing 13 yang mengambil lima mata pelajaran dan 223 (empat mata pelajaran).

Beliau berkata, bilangan itu merosot berbanding 25 calon mendapat prinsipal A dalam lima mata pelajaran dan 361 memperoleh keputusan sama bagi empat subjek diambil pada 2007.

Katanya, daripada analisis jurang pelajar bandar dan luar bandar masih ketara kerana calon mendapat 5A, 4A dan 3A ialah 10.39 peratus berbanding 6.77 peratus (luar bandar).

“Namun, uniknya keputusan kali ini, calon luar bandar lebih baik daripada bandar dalam aliran sains dengan mendapat 5A, 4A dan 3A iaitu 14.81 peratus berbanding 12.99 peratus (bandar), walaupun mereka mendahului dalam aliran sastera dengan mencatat 9.01 peratus berbanding 6.15 peratus (luar bandar).

“Seramai 31 calon lagi mendapat empat A dalam lima mata pelajaran diambil, merosot berbanding 59 pelajar pada tahun sebelumnya.

“Umumnya, prestasi calon memperoleh keputusan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.00 atau ke atas rendah kerana hanya 0.82 peratus memperoleh PNGK 4.00, berbanding 1.15 peratus pada 2007,” katanya pada sidang media di sini semalam. Hadir sama, Ketua Eksekutif MPM, Omar Abu Bakar.

Dzulkifli berkata, berdasarkan analisis STPM 2008, 9.72 peratus calon mendapat PNGK 3.50 berbanding 10.66 peratus tahun sebelumnya, manakala 31.46 peratus lagi memperoleh PNGK 3.00, berbanding 32.11 peratus (2007).

“Jumlah calon STPM tahun lalu menurun 18.79 peratus iaitu 53,638 berbanding 66,048 pada 2007 dan daripada jumlah itu, 36,470 atau 67.99 peratus Bumiputera, 12, 484 atau 23.27 peratus Cina, 3,884 atau 7.24 peratus India serta 800 atau 1.49 peratus kaum lain.

“Penurunan itu mungkin disebabkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai pilihan lebih baik untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dari segi prestasi calon lulus penuh mengikut mata pelajaran pula, ada 15 mata pelajaran tidak berubah kerana perubahan pencapaian calon kurang daripada tiga peratus dianggap sebagai biasa.

“Mata pelajaran itu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Syariah, Sejarah, Perakaunan, Matematik S, Matematik T, Fizik, Kimia, dan Biologi.

“Lapan mata pelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Usuluddin, Geografi, Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Matematik T Lanjutan, Pengkomputeran, Sains Sukan dan Seni Visual serta tiada subjek menurun melebihi tiga peratus

Mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam jawapan bagi subjek Sains dan Matematik, Dzulkifli berkata, kertas soalan tujuh subjek disediakan dalam dwibahasa, iaitu Matematik S, Matematik T, Matematik T Lanjutan, Pengkomputeran, Fizik, Kimia dan Biologi.

Beliau berkata, 92.7 peratus calon menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, meningkat 0.8 peratus berbanding 91.9 peratus pada 2007.

“Ia disebabkan mereka lebih selesa menjawab dalam bahasa itu,” katanya.

Sumber : Bernama

One thought on “Analisa Keputusan Peperiksaan STPM 2008

  1. saya tidak setuju kalau bahasa inggeris perlu lulus dalam spm saya hanya setuju bahasa melayu sahaja yg. lulus! dimana tempat untuk orang utk temuduga bagi lepasan spm?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.