Jumlah Permohonan Ke IPTA Sesi 2009/2010

Sebanyak 139,207 permohonan bagi kemasukan pelajar ke insitusi pengajian tinggi awam bagi sesi 2009/2010 diterima sehingga 24 Mac 2009, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 71,173 permohonan adalah bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf, manakala 68,034 adalah permohonan Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) dan setaraf, termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Daripada segi kekosongan, walaupun ia belum dimuktamadkan kerana masih di peringkat perbincangan dengan IPTA, setakat ini terdapat kira-kira 40,500 kekosongan bagi pelajar lepasan STPM dan setaraf, manakala 28,000 lagi untuk pelajar SPM di IPTA di seluruh negara, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Radin berkata pemohon disaran agar mengemukakan permohonan awal melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA iaitu http://upu.mohe.gov.my yang akan dibuka sehingga 10 hari selepas pengumuman keputusan SPM, STPM dan STAM diumumkan Mac nanti.

Beliau berkata fasa pertama permohonan itu dibuka November lalu dengan pengisian maklumat asas, dan fasa kedua bermula 3 Feb lepas di mana pemohon perlu mengisi lapan pilihan program pengajian mereka dan calon perlu mendapatkan Nombor Unik ID bagi mencapai aplikasi, yang boleh didapati di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau di semua Mesin Juruwang Automatik (ATM) di seluruh negara, serta SMS Banking bagi pemegang akaun BSN.

Beliau berkata bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) yang dipilih sebagai Universiti Program Apex, mereka dinasihat memohon terus kepada universiti itu di laman web www.usm.edu.my, namun tetap memohon untuk universiti lain di laman web kementerian seperti biasa bagi mengelakkan mereka tercicir sekiranya tidak diterima USM.

Terdapat sebanyak 3,500 kekosongan di USM, dengan lebih banyak peluang diberikan kepada peringkat pasca siswazah berbanding ijazah pertama.

Dr Radin Umar berkata untuk memudahkan pemohon membuat pemilihan program pengajian, kementerian akan mengadakan satu Karnival Pengajian Tinggi untuk Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang, Sabtu ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan karnival yang diisi pelbagai program termasuk sesi forum interaktif dan berfokus kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling oleh IPTA, pameran pendidikan, penyediaan brosur program pengajian serta kiosk untuk permohonan kemasukan ke IPTA melalui Aplikasi Dalam Talian, serta penampilan Angkasawan Negara Mejar Dr Faiz Khaleed.

Sumber : BERNAMA

Reblog this post [with Zemanta]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.