Tarikh Keputusan SPM & STAM 2007

TERKINI : Tarikh Keputusan Peperiksaan SPM STAM STPM 2008

Kementerian Pelajaran telah memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2007 akan diumumkan pada minggu hadapan. Keputusan untuk peperiksaan SPM dan STAM ini boleh diperolehi oleh calon-calon pada 12 Mac ini mulai pukul 10 pagi di sekolah masing-masing. Manakala calon persendirian akan mendapat keputusan mereka melalui pos.

Pada masa yang sama pihak Kementerian Pelajaran akan memberikan analisis keputusan SPM dan STAM 2007 ini di Putrajaya. Peperiksaan SPM 2007 mempunyai seramai 439,255 orang calon yang berdaftar untuk mengambil peperiksaan tersebut. Ini boleh dibahagikan kepada 386,265 atau 87.9 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran, 14,672 atau 3.4 peratus calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan, 10,687 atau 2.4 peratus calon sekolah swasta dan 27,631 atau 6.3 peratus calon persendirian.

Peperiksaan STAM pula mempunyai seramai 6,552 orang calon yang berdaftar pada tahun lepas. Ini merangkumi seramai 878 atau 13.4 peratus calon sekolah bantuan penuh kerajaan, 3,991 atau 61 peratus calon sekolah agama kelolaan kerajaan negeri, 902 atau 13.8 peratus calon sekolah agama rakyat, 23 atau 0.4 peratus calon sekolah swasta dan 748 atau 11.4 peratus calon persendirian.

Ujian amali bagi peperiksaan SPM telah dijalankan dari 24 sehingga 26 September 2007 lalu dan ujian bertulis dari 12 November sehingga 6 Disember 2007. Sementara itu bagi STAM ujian lisannya telah diadakan dari 16 sehingga 20 Julai dan dari 23 sehingga 27 Julai. Ujian bertulis untuk STAM pula telah berlangsung dari 22 sehingga 24 Oktober 2007 dan dari 29 sehingga 30 Oktober 2007.

One thought on “Tarikh Keputusan SPM & STAM 2007

  1. Semoga ramai pelajar akan mendapat keputusan yang cemerlang.