Graduan Tempatan Gagal Tepati Kehendak Majikan

Saban tahun beribu graduan yang dilahirkan oleh beberapa institusi pengajian tinggi di Malaysia. Walaupun begitu dikatakan hanya segelintir sahaja yang benar-benar memenuhi aras penyampaian yang ditetapkan oleh pasaran pekerjaan. Mengapa begitu? Berikut adalah artikel yang ditulis oleh Mikhail Raj Abdullah;

Graduan yang lahir daripada sistem pendidikan Malaysia gagal memenuhi kehendak bakal majikan kerana kekurangan kemahiran berfikir secara kritis dan lemah dalam berkomunikasi.

Graduan Malaysia

Ini telah menyebabkan majikan perlu menyediakan latihan tambahan untuk menyesuaikan mereka ke dalam skop kerja masing-masing manakala ramai graduan perlu menerima pekerjaan yang tidak sesuai dengan kelayakan mereka.

Perunding pendidikan, sumber manusia dan pengambilan pekerja yang berpangkalan di Malaysia, merasakan terdapat keperluan asas yang kukuh dalam pemikiran kritikal dimasukkan ke dalam sistem pendidikan sebagai usaha menyediakan generasi akan datang untuk pasaran pekerjaan.

Pengurus negara Manpower Staffing Services (M) Sdn Bhd Sam Haggag berkata terdapat jurang yang ketara antara apa yang dihasilkan sistem pendidikan Malaysia dengan apa yang dicari majikan.

"Ini telah menyebabkan enam daripada 10 graduan dari universiti-universiti Malaysia mengambil masa sehingga enam bulan untuk mendapatkan pekerjaan. Sebanyak 40 peratus lagi mengambil masa yang lebih lama lagi," kata Haggag, yang syarikatnya menyediakan penyelesaian tenaga kerja yang termasuk pengambilan dan latihan.

"Pengambilan merupakan satu cabaran yang berbeza memandangkan universiti-universiti mengeluarkan graduan yang tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk memasuki tenaga kerja. Daripada konteks tenaga kerja, kami dapati bahawa tujuh daripada 10 graduan yang datang untuk temuduga pengambilan gagal ujian kecekapan Bahasa Inggeris yang ditetapkan oleh pelanggan kami.

"Kurang penguasaan dalam Bahasa Inggeris mengehadkan kebolehan mereka untuk berkomunikasi di luar sempadan Malaysia dan ini mengurangkan keyakinan mereka dan mengurangkan keupayaan mereka untuk menambah nilai di tempat kerja," katanya.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Hong Leong Bank Ramon Chelvarajasingam berkata ramai graduan baru yang muncul daripada sistem pendidikan Malaysia tidak mempunyai kemahiran pemikiran kritikal yang diperlukan untuk bersaing dalam dunia yang sentiasa berubah dan menjadi semakin kompetitif.

"Kaedah dan teknologi-teknologi baharu memaksa orang ramai untuk beroperasi di luar zon selesa mereka. Di negara-negara pesaing kita, profesional muda lebih maju dalam pemikiran kritikal, berinovasi, berfikir di luar kebiasaan dan mempunyai inisiatif pembangunan berterusan berbanding dalam Malaysia," tegasnya.

Beliau berkata hari ini, kebanyakan majikan mencari graduan dengan tahap keyakinan yang tinggi yang terdedah kepada bidang khusus di luar pengajian akademik mereka.

"Graduan baru ini tidak akan memberikan anda jawapan daripada buku teks, tetapi akan, melalui jawapan mereka, memaparkan pemikiran secara global dan menunjukkan pemahaman trend yang bergerak di dunia. Majikan biasanya bersedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi bagi mendapatkan "sekutu global" dalam organisasi, kata Ramon.

Pengarah Prospect Consulting Sdn Bhd Nina Adlan, yang menyediakan khidmat nasihat kepada institusi pendidikan yang berhasrat menubuhkan kampus cawangan di Malaysia, berkata beliau mendapati ‘ketidakselarasan’ antara apa yang graduan nyatakan dalam vitae kurikulum (CV) mereka dan mereka secara realiti.

"Apabila kita mengambil mereka, kita mempertimbangkan cara graduan bertutur dan menggambarkan diri mereka yang lebih penting daripada apa yang ada dalam CV. Apa gunanya mempunyai keputusan akademik yang baik apabila mereka tidak boleh berkomunikasi, tidak boleh berbual dengan lancar dan tidak mempunyai keyakinan? " kata beliau.

Haggag berkata satu sebab kurangnya keyakinan yang terbukti dalam graduan muda adalah institusi pendidikan tidak memberi tumpuan yang secukupnya kepada usaha melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran yang akan membolehkan mereka berfikir di luar kebiasaan dan menyesuaikan diri dengan permintaan dunia pekerjaan.

"Antara sebab-sebab mengapa mereka yang baru muncul dari sistem pendidikan tempatan tidak memenuhi standard majikan adalah sistem itu sendiri. Ia tidak jauh berbeza daripada UK, yang bertumpu kepada guru dan fokus kepada pembelajaran hafalan dan kurang penekanan terhadap aplikasi praktikal. Sistem ini juga memberi tumpuan kepada pencapaian individu dan kurang kepada prestasi pasukan, jadi tidak banyak peluang kepada pelajar untuk memperoleh kemahiran interaktif.

"Ia sama di Malaysia, di mana sistem cenderung kepada mereka yang mencapai keputusan baik dalam peperiksaan, yang tidak semestinya cara yang terbaik untuk mengukur mereka dalam mengambil bekerja," katanya.

Ramon berkata institusi pendidikan perlu mewujudkan ‘suasana pembelajaran’ yang menggabungkan pendekatan pengalaman dan pendedahan kepada ilmu yang meluas di luar skop teori akademik.

"Bahan buku teks tidak membantu mereka menghadapi cabaran perniagaan yang sentiasa berkembang. Mereka perlu didedahkan kepada perubahan trend dan tingkah laku, dan perlu diajar kemahiran seperti kreativiti, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan penyesuaian.

"Mereka juga perlu diajar bagaimana untuk menjadi berpengetahuan di peringkat global, yang menunjukkan bagaimana untuk menghubungkan apa yang mereka belajar dengan apa yang sedang berlaku di seluruh dunia," kata beliau.

Nina berkata jika Malaysia mahu melahirkan lebih banyak graduan yang boleh mendapat kerja dengan kemahiran menyelesaikan masalah dan kreatif, semua pihak yang terlibat dalam pendidikan perlu bekerjasama untuk mewujudkan budaya yang meletakkan nilai yang tinggi pada pemikiran kritis dan kreativiti untuk menggantikan yang ada sekarang ini yang memberi tumpuan kepada pemindahan maklumat dan keputusan akademik.

Beliau berkata graduan yang menghadiri temu duga seringkali ditanyakan soalan yang memerlukan mereka untuk "berfikir di luar kebiasaan" yang memerlukan keupayaan pemikiran kritikal.

Tinjauan di Internet mengenai soalan-soalan temuduga yang paling kerap ditanya menyediakan pemahaman kepada "dunia nyata" di luar sana.

Dengan soalan-soalan seperti: Apa anda cari dalam pekerjaan? Mengapa kami perlu mengambil anda? Takrifkan kejayaan di tempat kerja? Sejauh manakah pendidikan anda menyiapkan anda untuk pekerjaan ini? Kenapa penutup lurang pembetungan bulat?

Nina berkata asas untuk generasi akan datang berdepan dengan soalan ini dan soalan-soalan lain dan berada pada kedudukan untuk menangani keadaan kerja tanpa perlu untuk merujuk manual (jika ada), adalah untuk meletakkan asas yang kukuh di peringkat sekolah bagi mereka datang mengadakan strategi dan penyelesaian yang boleh menjadi unik dan sesuai untuk setiap situasi.

Ini, kata beliau, akan membantu membuka jalan untuk mencapai usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dengan tenaga kerja yang diperlukan yang akan memenuhi keperluan industri dan negara.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.