Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009

Satu Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi akan diadakan mulai hari ini 15 Mei sehingga hari Ahad 17 Mei 2009.
Karnival Kerjaya & Keusahawanan Graduan 2009Karnival ini merupakan pameran kerjaya terbesar di Malaysia berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan tercatat dalam Malaysian Book of Records merupakan usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk membantu meningkatkan nilai pasaran dan peluang mendapat kerja di kalangan kerja graduan.

Pameran ini akan disertai oleh 600 syarikat swasta, badan-badan berkanun dan agensi kerajaan yang membuka gerai kerjaya masing-masing.

Sementara itu lebih 10,200 peluang pekerjaan menanti para siswazah pada Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan ini dan dijangka seramai 500,000 pengunjung akan hadir.

Karnival ini bertujuan membuka peluang kepada para siswazah mencari pekerjaan serta peluang untuk meningkatkan pencapaian diri selain memberi ruang kepada syarikat-syarikat berkenaan mencari pekerja yang menepati kriteria industri mereka.

Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian pada karnival tersebut terdiri daripada 14 cabang industri seperti teknologi maklumat; pentadbiran dan sumber manusia; minyak dan gas; keusahawanan; pelancongan; pembinaan dan juga agensi pekerjaan.

Antara syarikat yang terlibat ialah AirAsia Bhd., Malaysia Airport Holdings Bhd, Malaysian Airlines, Petronas, Public Bank Bhd, Scomi Group Berhad, Sime Darby Berhad dan UEM Land Holdings Berhad.

Selain itu ia turut disertai oleh industri keusahawanan; telekomunikasi, penternakan dan pertanian; agensi kerajaan dan juga agensi pembiayaan keusahawanan.

Karnival ini akan menawarkan klinik dan ceramah kerjaya serta keusahawanan oleh pakar dan tokoh dalam pelbagai bidang dari syarikat-syarikat ternama.

Antara syarikat yang terbabit ialah Dell Malaysia, KUB Malaysia, Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), Malaysian Development Corporation, Erican Training and Consultancy, Walton International, TQM Consultants Sdn Bhd, Malaysian Biotechnology Corporation dan Pharmaniaga.

Klinik khas berhubung cara-cara menyediakan resume yang betul juga akan turut diadakan pada karnival ini. Beberapa seminar bertajuk Persiapan Menghadiri Temuduga; Peluang-peluang Dalam Perniagaan Francais; ICT Sebagai Kerjaya Pilihan; Peluang Kerjaya Dalam Bidang BioTeknologi dan Kebolehpasaran Graduan akan diadakan sepanjang karnival.

Bagi memudahkan proses sewaktu karnival berlangsung, para siswazah boleh mendaftar secara online menerusi laman web www.mohe.gov.my dan hanya perlu membawa salinan resume sewaktu mengunjungi ruang pameran kerjaya.

Mereka juga boleh membuat pendaftaran di PWTC semasa karnival ini berlangsung kerana 500 buah komputer disediakan bagi tujuan ini. Para graduan hanya perlu membawa pen drive atau cakera padat bagi memindahkan maklumat yang diperlukan.

Pendaftaran awal dengan resume yang lengkap akan memudahkan sesi temu duga di ruang pameran syarikat yang menjadi pilihan siswazah.

Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan akan dijadikan acara tahunan dan jumlah penyertaan industri dijangka meningkat pada tahun depan dan tahun-tahun seterusnya.

Karnival ini akan diadakan di Kuala Lumpur sahaja tetapi sekiranya ada industri yang berminat untuk menganjurkan program serupa di tempat-tempat lain, Kementerian Pengajian Tinggi sangat mengalu-alukannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.