Kolej Afda Akademi

Janji ditaburkan sebuah kolej swasta ketika menawarkan pengajian kepada kira-kira 30 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa ibarat menanam tebu di bibir kerana selepas beberapa bulan melanjutkan pengajian di kolej itu, semuanya belum ditunaikan.

Bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pengurusan yang tidak mengendahkan aduan yang dibuat sebelum ini, pelajar terbabit mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan berhampiran Wisma SCA di Kuala Lumpur, bagi menuntut hak mereka.

Difahamkan, semua pelajar terbabit ditawarkan peluang menyambung pengajian melalui telefon sebelum dijanjikan pelbagai kemudahan asas seperti penginapan lengkap dan pengangkutan termasuk biasiswa sepanjang tempoh pengajian.

Wakil pelajar, Raja Segaran Subramaniam, 19, berkata sehingga kini semua janji dibuat pihak pengurusan kolej belum dipenuhi.

“Sudah enam bulan saya belajar di sini, tetapi prasarana penting belum disediakan.

“Tiada alat bantuan pengajaran seperti komputer dan perpustakaan yang dapat meningkatkan mutu pemahaman pelajar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pelajar tidak bersemangat meneruskan pengajian selain berhenti daripada belajar.

Bagaimanapun, katanya pihak pengurusan mengugut mereka supaya menjelaskan biasiswa berjumlah RM35,000 jika berbuat demikian atau menghadapi tindakan saman.

Segaran berkata, ugutan itu tidak berasas kerana kebanyakan pelajar tidak pernah menerima wang seperti jumlah yang dituntut pihak kolej.

“Tuntutan itu keterlaluan, jika kami menerima wang itu mungkin tidak menjadi masalah untuk menjelaskannya semula,” katanya.

Seorang pelajar jurusan Pengurusan Hotel, Nor Izwani Mohammad, 18, berkata sepanjang tempoh pengajian di kolej itu, dia terpaksa menaiki bas atau teksi ke kolej berkenaan kerana pengangkutan yang dijanjikan tidak disediakan.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Pelajar Kolej Afda Akademi, Vijandran Challamuthu, menafikan tuduhan pelajar dan waris mengenai masalah berkenaan.

“Sebetulnya, pihak kami sedang berusaha mengotakan semua janji yang dibuat,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.