Pusat Perubatan UKM Bertaraf Dunia

Pusat Kemahiran Pembedahan Termaju (ASSC) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menawarkan kursus bertaraf dunia apabila dilengkapi peralatan pembedahan Laparoskopik bernilai RM6 juta daripada syarikat Jerman, Karl Storz.

Hospital UKMSumbangan peralatan moden daripada syarikat pengeluar terkemuka pembedahan itu termasuk simulator dan realiti virtual yang membolehkan ASSC menawarkan latihan teknik pembedahan tanpa insisi besar menggunakan alat tertentu dimasukkan ke dalam badan pesakit serta bidang perubatan lain termasuk radiologi, kardium serta pengurusan luka dan trauma.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata pengendalian kursus bagi pakar bedah tempatan dan luar negara di ASSC kini diterajui Pakar Bedah Pediatrik merangkap Profesor Ulung Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Tan Hock Lim yang dikenali sebagai antara pakar bedah dunia terbaik dalam pembedahan Laparoskopik.

“Penubuhan ASSC di Pusat Perubatan UKM pada Oktober 2007 bertujuan mewujudkan pusat latihan perubatan dan pembedahan bagi rantau Asia dengan menawarkan latihan pembedahan kepada pakar tempatan dan luar negara.

“Pengwujudan pusat itu diluluskan serentak pelantikan Dr Tan sebagai Profesor Ulung Fakulti Perubatan pada Oktober 2007 menerusi Skim Perkhidmatan Kontrak yang membolehkan tokoh akademik antarabangsa itu membantu UKM merancakkan pelaksanaan pembangunan strategik termasuk penubuhan ASSC.

“Sumbangan peralatan diterima daripada Karl Storz ini antara usaha dan inisiatif Dr Tan dalam mendapatkan dana luar untuk menampung perbelanjaan membangunkan ASSC,” katanya pada majlis menandatangani Surat Hasrat Sumbangan Peralatan Perubatan antara UKM dan Karl Storz, di Pusat Perubatan UKM, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Pasaran Asia Karl Storz, Edmund Su; Dekan merangkap Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof Datuk Dr Lokman Saim serta Dr Tan.

Sementara itu, Dr Tan, berkata walaupun premis ASSC masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2010, kegiatan dan latihan perubatan di pusat itu sudah dijalankan sejak Oktober tahun lalu.

“Antara program yang sudah dijalankan adalah dua persidangan perubatan antarabangsa serta kursus kemahiran pembedahan bagi pakar bedah UKM.

“Pusat ini sudah mula menarik minat pakar perubatan dari pelbagai negara termasuk Taiwan, Thailand serta United Kingdom yang menyatakan hasrat mengikuti kursus di ASSC,” katanya.

Program Fellowship Antarabangsa juga diwujudkan bagi membolehkan pakar bedah dari negara membangun dan maju mengikuti latihan di ASSC menerusi tajaan biasiswa selama satu tahun.

Setiap tahun, dua pakar pakar perubatan dari negara Asia dan seorang lagi dari negara maju ditawarkan menyertai program berkenaan.

Reblog this post [with Zemanta]

2 thoughts on “Pusat Perubatan UKM Bertaraf Dunia

  1. people..i need ur help…i am sitting 4 spm this year..please inform me anything about scholarship..

  2. Nikeyz,
    Sila rujuk kategori Biasiswa sebagai panduan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>