Bursary Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah merupakan penajaan di peringkat persediaan sebelum pelajar melanjutkan pengajian Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang di universiti sama ada di dalam atau luar negara.
Bursary ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang memperoleh 9A+ dan ke atas.
Pelajar-pelajar cemerlang lepasan SPM 2011 akan ditawarkan secara automatik Bursary di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan di dalam negara.
Syarat-Syarat Umum
- Mendapat 9A+ dan ke atas dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011;
- Warganegara Malaysia; dan
- Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2011.
Syarat-Syarat Khusus
- Mengikuti salah satu program persediaan berikut:
- Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
- Matrikulasi
- Asasi
- International Baccalaureate (IB)
- A-Level
- Mengikuti pengajian peringkat persediaan di kolej-kolej persediaan dalam negara yang telah ditetapkan.
Program Persediaan Bursary KPM
Bagi kesemua program persediaan yang tersenarai di bawah, penawaran Bursary KPM tertakluk kepada pelajar yang telah ditawarkan atau ditempatkan di pusat persediaan yang telah ditetapkan.
Program persediaan yang ditawarkan Bursary KPM adalah berikut:
1. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
Pelajar boleh mengikuti program STPM di mana-mana sekolah yang menawarkan program ini. Tempoh pengajian adalah selama 2 tahun.
Pelajar lepasan STPM berpeluang memohon masuk ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama.
2. Matrikulasi
Matrikulasi adalah program pra-universiti anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia yang menawarkan kursus persediaan jurusan Sains dan jurusan Perakaunan bagi melayakkan pelajar melanjutkan pengajian Ijazah Pertama pelbagai bidang di IPT dalam negara. Tempoh pengajian adalah selama setahun.
Kelayakan ini turut diterima pakai untuk memohon kemasukan ke IPT luar negara TERHAD kepada universiti yang menerima kemasukan lepasan Matrikulasi.
Pelajar yang layak di bawah Bursary KPM boleh mengikuti program matrikulasi di institusi berikut:
- Kolej Matrikulasi Melaka
- Kolej Matrikulasi Labuan
- Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
- Kolej Matrikulasi Pulau Pinang
- Kolej Matrikulasi Perlis
- Kolej Matrikulasi Johor
- Kolej Matrikulasi Perak
- Kolej Matrikulasi Kedah
- Kolej Matrikulasi Pahang
- Kolej Matrikulasi Selangor
- Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah
- Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang
- Kolej Matrikulasi Teknikal Johor
3. Asasi
Program persediaan Asasi adalah program pra-universiti anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang menawarkan kursus persediaan seperti Sains Hayat, Sains Fizikal dan Sastera. Program ini adalah menjurus kepada kemasukan pengajian ijazah pertama di IPT dalam negara. Tempoh pengajian adalah selama setahun.
Pelajar yang layak di bawah Bursary KPM boleh mengikuti program asasi di institusi berikut:
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
- Universiti Teknologi Mara (UiTM)
- Universiti Putra Malaysia (UPM)
- Universiti Malaya Kuala Lumpur/Universiti Malaya Nilam Puri
- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
- Universiti Malaysia Sabah (UMS)
4. International Baccalaureate (IB)
Kursus persediaan IB merupakan program persediaan universal yang diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPT dalam dan luar negara untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama. Tempoh pengajian adalah selama 2 tahun.
Walau bagaimanapun, bagi kemasukan ke IPTA kelayakan IB hanyalah terhad kepada bidang SELAIN daripada bidang kompetitif (Perubatan, Pergigian dan Farmasi).
Pelajar yang layak di bawah Bursary KPM boleh mengikuti program IB di institusi berikut:
- Sri KDU International School (KDU)
- Taylor’s University College
5. A-Level
Kursus persediaan A-Level ini merupakan program persediaan universal yang diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPT dalam dan luar negara untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama. Tempoh pengajian adalah selama 12 hingga 24 bulan.
Walau bagaimanapun, bagi kemasukan ke IPTA dalam negara kelayakan A-Level hanyalah terhad kepada bidang SELAIN daripada bidang kompetitif (Perubatan, Pergigian dan Farmasi).
Pelajar yang layak di bawah Bursary KPM boleh mengikuti program A-Level di institusi berikut:
- Taylor’s University College
- UCSI University
- Kolej Damansara Utama (KDU)
- Cempaka International School (CIS)
- Kolej Bandar Utama (KBU)
- International Islamic School
- Sunway University College
- INTI International University
- HELP University College
- SEGI University College
- Stamford College
- Methodist College KL
Kemudahan Dan Elaun
- Pembiayaan yuran pengajian di institusi persediaan;
- Elaun Sara Hidup mengikut kadar yang telah ditetapkan bagi setiap program;
- Lain-lain kemudahan elaun berkaitan seperti bayaran yuran peperiksaan SAT/ IB/ A-level/ International English Language Testing System (IELTS)/ Test of English as a Foreign Language (TOEFL) dan sebagainya.
Semakan Dan Pengemaskini
Semakan dan pengemaskinian profil pelajar Bursary KPM boleh dibuat mulai 16 April 2012 di Portal Bursary Pelajar Cemerlang SPM 2011.
Penerimaan Tawaran
Pelajar-pelajar yang layak di bawah Bursary Pelajar Cemerlang Lepasan SPM tahun 2011 KPM hendaklah memilih dan mendapatkan tempat bagi mengikuti program persediaan di salah satu institusi yang telah ditetapkan serta membuat pengesahan penerimaan tawaran Bursary KPM selewat-lewatnya pada tarikh di jadual berikut : –
Program Persediaan | Tarikh Akhir Pengesahan Penerimaan Tawaran | Tarikh Kemasukan Program |
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia – STPM | 2 Mei 2012 | 8 Mei 2012 |
Matrikulasi | 7 Mei 2012 | 21 – 28 Mei 2012 |
Asasi | 13 Mei 2012 | 27 Mei 2012 |
A-Level | 15 Jun 2012 | Minggu pertama Julai |
International Baccalaureate – IB | 15 Jun 2012 | Minggu pertama Julai |
Pelajar dinasihatkan membuat keputusan pemilihan program persediaan dan mendapatkan tempat di institusi persediaan yang tersenarai sebelum membuat pengesahan penerimaan tawaran.
Pengesahan penerimaan tawaran perlu dibuat sebelum atau pada tarikh di atas di Portal Bursary Pelajar Cemerlang SPM 2011.
Surat Tawaran Bersyarat akan dikemukakan kepada pelajar berdasarkan maklumat pengesahan penerimaan tawaran serta semakan dengan pihak institusi bahawa pelajar telah ditawarkan tempat.
Kegagalan mematuhi perkara-perkara di atas dalam tempoh yang ditetapkan boleh menyebabkan tawaran ini terbatal.
Panduan Pengisian
Panduan Pengisian Aplikasi Maklumat Bursary Pelajar Cemerlang Lepasan SPM Tahun 2011 adalah seperti berikut:
- Pelajar yang memenuhi syarat dikehendaki mendaftar dan membuat semakan samada nama pelajar tersenarai di bawah Bursary KPM.
- Pelajar yang tersenarai di bawah Bursary KPM dikehendaki mengemaskini profil pelajar Bursary KPM dengan maklumat terkini.
- Pelajar hendaklah mencetak slip pengesahan maklumat Bursary Pelajar Cemerlang Lepasan SPM Tahun 2011 sebagai bukti pendaftaran dan pengemaskinian.
- Pelajar hendaklah mendapatkan tempat untuk mengikuti salah satu program persediaan di institusi yang telah ditetapkan. Sekiranya pelajar sedang mengikuti program persediaan atau telah mendapat tawaran untuk mengikuti program persediaan, pelajar dikehendaki membuat pengesahan penerimaan / penolakan tawaran Bursary KPM sebelum atau pada 30 Jun 2012. Kegagalan membuat pengesahan berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan boleh menyebabkan tawaran ini terbatal.
- Pelajar hendaklah mencetak slip pengesahan penerimaan atau penolakan Bursary KPM sebagai bukti pengesahan.
Ijazah Pertama
Pelajar lepasan Bursary KPM akan ditawarkan penajaan peringkat ijazah pertama di dalam atau luar negara mulai tahun 2014 di bawah anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Maklumat
- Sila rujuk Portal Bursary Pelajar Cemerlang SPM 2011.
- Program Bursary KPM ini adalah salah satu daripada Program Penajaan JPA & KPM Bagi Lepasan SPM 2011.
- Bagi pertanyaan mengenai Bursary KPM sila hubungi talian 03-8321 7086, pada setiap hari bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel di alamat bt.bursary@moe.gov.my
- Bagi bantuan teknikal Bursary KPM, sila hubungi talian 03-8884 3717 / 3752.
- Bagi pertanyaan mengenai program penajaan JPA, sila hubungi talian Help desk JPA di 03-8885 3704.
[…] Sila rujuk Program Bursary Pelajar Cemerlang SPM 2011 […]
adakah penerima bursary hny akan melanjutkan pelajaran dibawah tajaan jpa?
ye kot