UIAM Dapat Pengiktirafan Antarabangsa

Menginjak ke usia 25 tahun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini sudah matang.

UIAMBermula dari bertatih-tatih ketika mula dibuka pada 1983, kini UIAM terus laju menghayun langkah dengan penuh keyakinan menjadikan ia antara universiti antarabangsa yang berjaya mencipta nama dalam banyak bidang sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Timbalan Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Md Tahir Azhar berkata, kejayaan dalam bentuk fizikal boleh dilihat dengan jelas di mana pada awalnya universiti hanya menawarkan dua kuliah saja dengan jumlah 100 pelajar kini meningkat kepada 20 kuliah termasuk pusat dan institut yang menghimpunkan 20,000 pelajar pada satu-satu semester.

Katanya, pertambahan jumlah pelajar dan kuliah yang ditawarkan memaksa universiti mengembangkan bilangan kampusnya menjadi enam di mana lima lagi di Petaling Jaya, Kuantan, Nilai dan dua kampus lagi di International Institute of Islamic Thought and Civilization (Istac).

Sebuah Pusat Matrikulasi juga akan dibina di kawasan sesuai di Kuantan yang bakal disiapkan dalam masa terdekat.

“Jumlah pelajar antarabangsa juga meningkat kepada lebih 3,000 yang datangnya daripada lebih 100 negara di seluruh dunia.

“Ini menunjukkan UIAM diiktiraf dan diterima sebagai universiti antarabangsa Islam yang terpilih dan saban tahun pihak universiti menerima banyak permohonan daripada pelajar luar negara sama ada yang beragama Islam dan bukan Islam.

“Biarpun universiti mengadakan saringan pemilihan pelajar yang ketat, ia tidak menjejaskan minat pelajar dari seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada nadi universiti ini,” katanya ketika ditemui di kampus UIAM, Gombak baru-baru ini.

Tidak seperti pelajar universiti lain, semua pelajar UIAM diwajibkan mengikuti kursus bahasa Arab, tilawah, halaqah dan kokurikulum sehingga melepasi tahap yang ditetapkan di samping subjek teras dalam kuliah yang diambil.

Dr Md Tahir berkata, biarpun ia nampak agak membebankan, tetapi pelajar terus menunjukkan komitmen mereka dengan memberi maklum balas positif dan inilah antara faktor yang menjadikan siswazah UIAM lebih versatil.

“Berikutan pencapaian dan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa yang diterima, kini semakin ramai pelajar dari Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah juga Afrika yang memilih untuk belajar di UIAM, malah kami juga menerima permohonan daripada pelajar dari Amerika Selatan contohnya Bolivia,” ujarnya.

Di antara pencapaian pelajar UIAM ialah menang pertandingan debat antara universiti tempatan dan antarabangsa dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan bahasa Arab sejak bertahun-tahun lalu.

Sementara kecemerlangan dari segi kerja penyelidikan dan inovasi juga mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti dari Seoul, Jerman, Pittsburg, Amerika Syarikat dan Geneva.

“UIAM juga baru-baru ini menerima taraf bagus bagi kategori Universiti Komprehensif iaitu universiti yang menawarkan pelbagai kursus yang menunjukkan kecemerlangan,” katanya.

Pada Konvokesyen Jubli Perak UIAM 23 Ogos ini, daripada 3,300 graduan yang bakal menerima ijazah masing-masing, seramai 100 dari mereka berjaya mendapat CGPA melebihi 3.6.

Mulai tahun ini universiti juga memperkenalkan pemakaian jubah dan motar kepada graduan sebagai satu pembaharuan yang positif.

“Jubah kali ini direka khas menggunakan fabrik yang lebih ringan, lembut dan selesa buat graduan yang terpaksa memakainya dalam tempoh yang lama di dalam dewan semasa majlis konvokesyen berlangsung.

“Semua jubah dibuat satu warna yang sama dan yang membezakan fakulti adalah warna hud yang dibuat secara pasang siap di belakangnya.

“Motar pula bukan bertujuan untuk menggantikan songkok kerana ia hanya dipakai semasa majlis konvokesyen manakala songkok boleh dipakai pada majlis rasmi yang lain,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah RM2 juta digunakan untuk menempah dan membeli fabrik khas untuk jubah dan motar ini yang boleh digunakan oleh 80,000 graduan selama 20 tahun dan ini sangat menjimatkan.

Reblog this post [with Zemanta]

One thought on “UIAM Dapat Pengiktirafan Antarabangsa

  1. Assalamu’alaikum.

    I just would like to say that I’m proud to be 1 of IIUM student.
    I admit that it’s tough to be accepted as IIUM student.But, it’s worth as it’s environment suit my soul; islamic environment.

    *ex-CFS IIUM, Gombakian to be*

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.