Cadangan Hadkan Mata Pelajaran SPM

Kementerian Pelajaran dijangka akan mengumumkan keputusan mengenai langkah menghadkan maksimum 10 mata pelajaran untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah meneliti laporan lengkap berhubung perkara itu.

Laporan mengenai perkara itu, termasuk analisis berhubung pandangan orang ramai sedang dalam semakan peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Menteri Pelajaran.

Bagaimanapun, kementerian masih membuka ruang perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung perkara berkenaan terutama membabitkan penentuan mata pelajaran teras dan elektif yang bakal diambil pelajar SPM untuk semua aliran pendidikan.

Dr Mohd Puad Zarkashi pula memaklumkan bahawa sebanyak 21 kesatuan dan persatuan guru seluruh negara mahu had jumlah mata pelajaran bagi peperiksaan SPM ditambah kepada 12 berbanding 10 seperti cadangan Kementerian Pelajaran sebelum ini.

Menurut beliau persetujuan itu dicapai selepas mengadakan perbincangan secara terperinci serta mengambil kira kesannya daripada pelbagai aspek.

Ketika ini Kementerian Pelajaran tidak menghadkan bilangan mata pelajaran yang ingin diduduki pelajar kerana langkah mereka tidak menampakkan sebarang kesan negatif. Ramai pelajar berazam dan mahu menyaingi pencapaian mereka yang cemerlang, sekali gus mendorong mereka mengambil seberapa banyak mata pelajaran yang termampu di peringkat SPM.

Di antara pelajar cemerlang di dalam peperiksaan SPM adalah pelajar SMK Ulu Tiram, Johor, Nur Amalina Che Bakri, yang berjaya mencatat 17 1A dalam peperiksaan SPM 2004, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan Kedah, Azli Azlan, yang mencatat 20 1A dan 1 2A pada SPM 2007 dan seorang anak nelayan dari Kota Bharu, Kelantan, Nik Nur Madihah Nik Omar, muncul sebagai pelajar cemerlang dengan mencatat 20 A pada SPM 2008.

Bagaimanapun tidak semua yang melihat pencapaian membanggakan itu sebagai kejayaan yang sihat. Ada pihak, termasuk pakar motivasi menyifatkan calon yang mengambil terlalu banyak mata pelajaran hanya membebankan diri sendiri dan tidak harus menjadi amalan atau ikutan.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya menetapkan pelajarnya hanya boleh mengambil 10 mata pelajaran dan sudah pasti pelajarnya tidak dapat menyaingi pelajar sekolah lain yang memberi kebebasan kepada pelajarnya mengambil seberapa banyak subjek yang mereka mampu.

Selain itu, pelajar tidak sepatutnya terlalu menumpukan kepada pelajaran semata-mata sehingga tidak mempunyai masa untuk membabitkan diri dalam kegiatan kokurikulum dan menimba kemahiran insaniah yang lain.

Bagaimanapun langkah untuk menghadkan 10 matapelajaran ini mungkin sukar untuk dilaksanakan di sekolah aliran agama kerana mereka bukan saja mempelajari mata pelajaran biasa berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran, malah mereka juga mengikuti mata pelajaran lain termasuk Bahasa Arab serta yang berteraskan keagamaan.

Tentu terdapat juga segelintir pelajar yang kurang bersetuju dengan langkah menghadkan bilangan matapelajaran kerana keputusan itu dianggap menyekat cita-cita mereka untuk mencatat kejayaan lebih baik berbanding pelajar lain.

Orang ramai yang ingin mengemukakan cadangan dan pandangan berhubung isu menghadkan matapelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh berbuat demikian melalui talian khidmat pelanggan Kementerian Pelajaran di 03-77237070 atau e-mel di kpkpm@moe.gov.my.

Sumber : Berita Harian

Reblog this post [with Zemanta]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.