Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon SPM diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini calon SPM tidak disyaratkan lulus Bahasa Inggeris walaupun mata pelajaran itu diajar sebagai satu mata pelajaran di sekolah, selain diiktiraf sebagai bahasa kedua di negara ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menjelaskan mata pelajaran Bahasa Inggeris sekarang diajar menggunakan kaedah `Communicative English’ bagi memantapkan penggunaan bahasa kedua itu di kalangan pelajar.
Menurut beliau lagi kaedah `Communicative English’ ini digunakan sejak awal 1980-an bagi menggantikan kaedah pembelajaran tatabahasa, sekali gus meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan. Ini berbeza dengan kaedah terdahulu yang menekankan pemahaman tatabahasa berbanding komunikasi, tetapi kaedah kini adalah sebaliknya dengan menekankan komunikasi.
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom juga menjelaskan, sistem sekarang juga tidak mewajibkan calon SPM lulus Bahasa Inggeris dan itu yang menimbulkan reaksi kurang senang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sistem pensijilan terbuka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diguna pakai ketika ini dianggap longgar kerana hanya memerlukan calon lulus Bahasa Malaysia untuk membolehkan mereka mendapat sijil penuh.
Walaupun sistem itu menggalakkan calon SPM mengambil banyak mata pelajaran, dari segi kelayakan untuk membolehkan seseorang calon mendapat sijil penuh, ia masih longgar. Jadi, dari satu sudut, sesetengah pelajar mungkin tidak bersungguh-sungguh kerana mereka tahu hanya perlu lulus Bahasa Malaysia untuk mendapat sijil penuh SPM.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM. Menurut beliau, cadangan itu boleh memberi nilai tambah kepada masa depan pelajar terbabit khususnya untuk bersaing dalam dunia pekerjaan dalam era globalisasi.
Mungkin ibu bapa di bandar akan menyokong pendapat Tun tersebut tetapi penduduk luar bandar dan pencinta Bahasa Melayu, mungkin kurang senang dengan cadangan ini.
Sebelum ini pun sudah ada suara yang mahukan Kementerian Pelajaran meneliti kurikulum mata pelajaran Bahasa Inggeris kerana dikatakan terlalu lemah dan antara punca masalah pelaksanaan PPSMI. Ramai berpandangan kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah sekarang tidak banyak membantu pelajar untuk menguasai bahasa berkenaan, terutama di luar bandar.
Bagaimanapun, ramai pelajar Melayu yang gagal Bahasa Inggeris pada peringkat SPM tetapi mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memberi penekanan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang betul.
Begitu juga kanak-kanak yang belajar di tadika dengan menekankan program khusus pengajaran Bahasa Inggeris mampu menguasai bahasa itu dalam tempoh singkat, sedangkan enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah, majoriti pelajar terutama di luar bandar tidak mampu menguasai bahasa itu.
Oleh itu kaedah pengajaran dan pengajaran Bahasa Inggeris juga perlu diteliti kerana mungkin juga menjadi punca pelajar gagal menguasai bahasa. Begitu juga modul yang digunakan oleh guru mungkin menyebabkan sebahagian pelajar cukup takut atau bosan apabila guru bahasa Inggeris masuk kelas menyebabkan mereka sukar menguasai bahasa berkenaan.
Orang ramai yang ingin mengemukakan cadangan dan pandangan berhubung isu Bahasa Inggeris syarat wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh berbuat demikian melalui talian khidmat pelanggan Kementerian Pelajaran di 03-77237070 atau e-mel di kpkpm@moe.gov.my.
Sumber : Berita Harian
If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!Related posts
Sponsors
![Reblog this post [with Zemanta]](http://img.zemanta.com/reblog_e.png?x-id=4feac35d-d6a4-4030-b56e-9a12f74cbc92)







Hmmmm….
Kenapa kita tak macam Jepun ya?
Guna bahasa sendiri pun boleh maju jgak.