Usia tidak menghalang bekas guru besar berusia 71 tahun untuk menggenggam segulung ijazah apabila berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Fakulti Perniagaan, Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya.
Warga emas, Yap Yong Hon @ Yap Heong Hon yang mempunyai tiga anak berusia 30-an, berulang-alik hampir empat jam setiap hari untuk menghadiri kuliah di kampus cawangan MMU di Ayer Keroh, Melaka dari rumahnya di Batu Pahat, Johor.
Dia berbuat demikian bagi mencapai impiannya menjadi peguam dan mempunyai firma guamannya sendiri.
Bekas guru Bahasa Inggeris itu juga tidak menghadapi masalah untuk memandu selama satu jam 15 minit untuk pergi ke kuliah dan memandu pulang dalam tempoh yang sama.
“Jika ada minat, kemahuan dan arah tuju yang betul, semua perkara kita boleh atasi,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen kesembilan MMU di sini, semalam.
Bagaimanapun ujarnya, kadangkala dia berasa letih juga terutama apabila ada kuliah pada waktu malam yang habis lewat dan terpaksa menghadiri kuliah pada keesokan paginya.
Bagi Yong Hon, kejayaannya itu bukan untuk berbangga diri sebaliknya kerana minatnya yang mahu mendalami bidang undang-undang.
“Selepas ini, saya akan membuat latihan dalam kamar, menjadi pengamal undang-undang dan menubuhkan firma guaman di Batu Pahat,” jelasnya.
Isteri dan tiga orang anaknya turut hadir meraikan kejayaannya dan sebagai tanda sokongan serta galakan kepada usaha Yong Hon.
“Kejayaan ini berjaya membuktikan walaupun umur sudah meningkat, saya masih boleh berjaya dalam bidang akademik dan berharap ia menjadi contoh dan perangsang kepada golongan muda,” katanya.
Seramai 3,247 graduan MMU menerima ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari mulai kelmarin.
Yap yang memperoleh Nilai Purata Gred Keseluruhan-PNGK (CGPA) 3.12 berkata, ijazah sarjana muda yang diperolehnya semalam adalah ijazah sarjana muda kedua selepas memperoleh ijazah sama dalam bidang Sains Sosial 40 tahun lalu.
Warga emas berkenaan yang menghabiskan empat tahun menjadi pelajar sepenuh masa berkata, anak sulungnya yang kini bertugas sebagai seorang peguam menjadi pendorong utama untuk beliau menyambung pelajaran pada peringkat lebih tinggi.