Pelajar Baru IPTA Sesi 2008/2009

20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerima seramai 70,941 orang pelajar baru bagi sesi 2008/2009 untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan asasi.

Daripada 70,941 orang ini seramai 30,757 orang pelajar baru adalah lepasan SPM dan setaraf dengannya yang akan mengikuti program diploma dan kursus persediaan. Program yang ditawarkan IPTA bagi lepasan SPM dan setaraf untuk sesi akademik kali ini membabitkan 169 program dengan 36 daripadanya Persediaan Asasi manakala 133 lagi diploma.

Manakala seramai 40,184 orang pelajar baru lagi adalah lepasan STPM, matrikulasi dan asasi yang ditawarkan tempat bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda. Tahun ini, pihak Kementerian Pengajian Tinggi menerima 67,143 permohonan calon lepasan STPM, matrikulasi dan asasi dan masing-masing memenuhi kelayakan minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.00 ke atas.

Berdasarkan pecahan kaum pula, seramai 24,989 pelajar baru atau 62.19 peratus adalah Bumiputera, 12,445 pelajar atau 30.9 peratus adalah Cina dan 2,750 pelajar atau 6.84 peratus adalah India. Secara keseluruhan, 24,862 atau 61.87 peratus adalah calon aliran sains manakala 15,322 atau 38.13 (sastera).

Universiti Teknologi Mara (UiTM), menawarkan 28,117 tempat kepada pelajar lepasan SPM, STPM, matrikulasi dan lepasan diploma di semua 13 kampus cawangannya di seluruh negara. Selain program diploma, UiTM juga menawarkan program asasi sains, kejuruteraan, TESL dan undang-undang.

UiTM menawarkan 15,033 tempat pengajian diploma dan 13,084 tempat bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda. Kampus UiTM di Shah Alam akan mengendalikan 2,531 tempat pengajian peringkat diploma/asasi dan 10,357 tempat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula menerima masuk 5,234 pelajar baru bagi semester pertama sesi 2008/2009 di dua kampusnya di Serdang dan Bintulu, Sarawak. Ini merangkumi 4,224 pelajar peringkat Bacelor dan 300 pelajar Asasi Sains Pertanian di kampus induknya di Serdang, manakala 710 pelajar diploma mendaftar di kampus Bintulu.

Bagi peringkat Bacelor, kluster Sains Gunaan mencatat pendaftaran pelajar baru paling ramai, iaitu 1,503 orang, diikuti Sains Sosial 1,430 orang, Sains Tulen 622 orang, Kejuruteraan Teknikal 496 orang dan Perubatan 173 orang. Bacelor Perakaunan dan Bacelor Pentadbiran Perniagaan adalah program yang menawarkan pendaftaran pelajar baru paling ramai di UPM, masing-masing 200 pelajar. UPM juga menawarkan tempat pengajian kepada 27 atlit sukan bertaraf kebangsaan bagi mengikuti pelbagai program pengajian di UPM.

Sementara itu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima seramai 4,351 pelajar baru membabitkan 12 fakulti dan 13 kolej kediaman. Pengambilan ini membabitkan pelajar bagi Fakulti Perubatan, Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu dan Fakulti Farmasi yang mana pelajarnya akan mengikuti pengajian di kampus UKM di Kuala Lumpur.

Lapan lagi fakulti yang beroperasi di Bangi ialah Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pendidikan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang berjaya dipilih memasuki IPTA di seluruh negara tahun ini. Selamat menempuh alam baru kerana kehidupan di kampus jauh berbeza daripada kehidupan semasa bersekolah atau ketika mengikuti program matrikulasi.

3 thoughts on “Pelajar Baru IPTA Sesi 2008/2009

  1. camne ne nk online kt uitm….susah nye????

  2. salam..sy pelajar lepasan spm 2008.bley tlg beri maklumat ttg subjek2 yg perlu dipelajari dlm fakulti undang2?…nk sgt thu..

  3. Wawa,
    Sila rujuk Kulliyyah Of Law, UIAM atau laman web universiti lain untuk mendapatkan maklumat.