Program Penajaan JPA 2010 Bagi Lulusan SPM 2009

Modal Insan berkualiti merupakan prasyarat utama untuk menyokong agenda pembangunan negara. Oleh itu, Kerajaan akan sentiasa memastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara komprehensif, meliputi usaha-usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan.

Selain itu, langkah akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi serta memupuk nilai-nilai positif dan progresif. Sehubungan itu, Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) akan menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara di peringkat Ijazah Pertama.

Penawaran biasiswa ini diteruskan pada tahun 2010 dengan memberi fokus kepada bidang-bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Perubatan Veterinar, Kejuruteraan, Sains & Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara.

Program Biasiswa Lepasan SPM

Program Penajaan JPA 2010 terdiri daripada:

  1. Program Biasiswa Nasional
  2. Program Ijazah Luar Negara – PILN
  3. Program Ijazah Dalam Negara – PIDN
1. Program Biasiswa Nasional

Dalam pembentangan Bajet 2010 pada 30 Oktober 2009, Y.A.B. Perdana Menteri telah mengumumkan penganugerahan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kalangan yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia berasaskan kepada merit mulai tahun 2010.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan mengenal pasti pelajar paling cemerlang dari kalangan pelajar yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran peperiksaan SPM untuk ditaja di bawah Program Biasiswa Nasional ini. Pelajar-pelajar akan ditaja untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di universiti-universiti terkemuka di dalam ataupun luar negara dalam pelbagai bidang pengajian mengikut minat dan pilihan pelajar.

Maklumat dan Syarat Asas

Maklumat dan syarat asas untuk Program Biasiswa Nasional adalah seperti berikut:

  • Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil dan minimum bilangan mata pelajaran yang dinilai adalah sebanyak sembilan mata pelajaran (Pencalonan akan ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia);
  • Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
  • Calon perlu melalui proses temuduga; dan
  • Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.
Kriteria

Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:

  • Pencapaian akademik; dan
  • Prestasi temuduga.
2. Program Ijazah Luar Negara (PILN)

Program Ijazah Luar Negara (PILN) merupakan program penajaan kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan SPM untuk mengikuti program Ijazah Pertama di universiti luar negara. Sila rujuk Permohonan Tajaan JPA MARA PILN 2010 Lepasan SPM 2009

Maklumat dan Syarat Asas

Maklumat dan syarat asas untuk PILN adalah seperti berikut:

  • Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan cemerlang;
  • Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
  • Calon perlu melalui proses temu duga; dan
  • Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.
Kriteria

Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:

  • Pencapaian akademik;
  • Penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum;
  • Prestasi temu duga; dan
  • Sosio-ekonomi/latar belakang keluarga.

Penajaan bagi tahun 2010 mengambil kira kecemerlangan akademik, kepelbagaian latar belakang kaum, latar belakang sosio ekonomi calon bagi menentukan penawaran dilaksanakan dengan adil dan saksama.

PILN 2010 adalah dibuka khusus kepada lepasan SPM tahun 2009 yang memperolehi keputusan yang cemerlang. Pada tahun 2009, seramai 455,317 orang calon telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding seramai 442,936 orang pada tahun 2008. Peningkatan bilangan calon ini dijangka akan menjadikan PILN 2010 lebih kompetitif.

Pada tahun 2009, misalnya, JPA telah menerima sebanyak 15,084 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,469 permohonan diterima daripada kalangan calon yang mendapat keputusan 1A dalam semua mata pelajaran SPM tahun 2008.

Setiap tahun PILN menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa. Dua bidang yang paling popular di kalangan calon ialah Kejuruteraan dan Perubatan. Manakala, negara pengajian pilihan oleh majoriti calon/pelajar ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand.

3. Program Ijazah Dalam Negara (PIDN)

Pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih, disebabkan persaingan yang sengit di bawah program PILN, akan ditawarkan tajaan untuk mengikuti pengajian di dalam negara sama ada di empat buah universiti penyelidikan di Malaysia iaitu;

  1. Universiti Sains Malaysia (USM),
  2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
  3. Universiti Putera Malaysia (UPM) dan
  4. Universiti Malaya (UM),

atau IPT tempatan yang lain.

Di samping itu termasuk juga kampus-kampus cawangan universiti luar negara seperti;

  1. University of Nottingham,
  2. Monash University,
  3. Swinburne University of Technology dan
  4. Curtin University of Technology

Tersenarai juga IPTS tempatan yang lain seperti;

  1. Universiti Teknologi Petronas (UTP),
  2. Universiti Multimedia Malaysia (MMU),
  3. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN),
  4. AIMST University,
  5. Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-Royal College of Medical Sciences (RCMS), Cyberjaya
  6. University College of Medical Sciences (CUCMS),
  7. Alliance College of Medical Sciences (ACMS)-UKM dan
  8. University College Sedaya International (UCSI).

Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi/asasi/pra-universiti dan ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan.

Selain itu program penajaan dalam negara (PIDN) turut menawarkan biasiswa diperingkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Kejuruteraan, Undang-Undang, Sains Tulen & Gunaan, Pengurusan dan Sastera di IPTA dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Proses Pemilihan

Calon-calon dinasihatkan supaya membuat pilihan secara bijak dan memberi perhatian kepada perkara-perkara seperti berikut:

  • Kriteria pemilihan – peluang adalah lebih tinggi bagi calon yang mendapat gred A bagi sembilan mata pelajaran dan aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum berbanding dengan calon yang mendapat gred A bagi 15 mata pelajaran tetapi tidak aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum;
  • Kursus/bidang – selain perubatan, terdapat bidang kritikal lain yang ditaja iaitu Pergigian, Farmasi dan Sains Perubatan Veterinar. Di samping itu tajaan juga diberikan kepada bidang lain seperti Ekonomi, Sains dan Perakaunan yang juga amat diperlukan oleh negara dan perkhidmatan awam;
  • Pilihan kursus – calon hendaklah memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan kelayakan SPM yang dimiliki;
  • Negara – penetapan negara tempat pengajian adalah menjadi hak JPA/penaja. Calon adalah dinasihatkan agar menerima keputusan penaja kerana apa yang penting adalah matlamat utama iaitu untuk melanjutkan pengajian. Semua kursus di negara-negara yang ditaja oleh JPA adalah of good standing dan diiktiraf. Sebagai contoh pelajar yang bergraduat dalam bidang Perubatan di Indonesia, India dan Rusia akan tetap dilantik sebagai Pegawai Perubatan seperti mana mereka yang bergraduat daripada Ireland, United Kingdom atau Australia.

Peruntukan kewangan dan tempat pengajian ke luar negara terutama bagi kursus-kursus kritikal (perubatan/pergigian/farmasi/perubatan veterinar) adalah terhad namun permohonan yang diterima adalah tinggi dan ini menyebabkan wujudnya persaingan yang sengit di kalangan pemohon.

Contohnya pada tahun 2009, sebanyak 5,181 permohonan telah diterima bagi mengikuti kursus kritikal, namun peruntukan tempat yang disediakan hanyalah sebanyak 772 sahaja. Ini menunjukkan hanya seorang calon akan terpilih daripada setiap enam permohonan.

Kaedah Permohonan

Iklan tawaran dan maklumat lanjut akan disiarkan menerusi portal www.jpa.gov.my dan juga akhbar-akhbar utama pelbagai bahasa pada bulan Mac 2010. Calon perlu merujuk ke portal www.jpa.gov.my untuk mendapatkan butiran tawaran dan syarat kelayakan PILN 2010 yang akan mula dibuka secara atas talian (on-line) mulai tarikh keputusan SPM 2009 diumumkan secara rasmi.

Calon-calon yang memenuhi syarat-syarat dan kriteria PILN serta memiliki kelayakan bahasa asing seperti bahasa Jerman, Perancis atau Jepun akan diberi pertimbangan sewajarnya sekiranya memohon program pengajian ke negara-negara berkenaan.

Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor akan diadakan pada bulan Mac 2010 di hospital-hospital Kerajaan yang akan ditetapkan oleh JPA. Calon yang memohon untuk mengikuti program perubatan adalah diwajibkan menghadiri program ini.

Pelajar-pelajar yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan akan dipanggil ke sesi temu duga yang akan dijalankan pada bulan April 2010. Urusan temu duga akan dijalankan secara berkumpulan mengikut dua kelompok utama bidang pengajian iaitu kritikal dan strategik.

Ahli-ahli panel bagi bidang kritikal terdiri daripada pegawai perubatan/pergigian/ farmasi dan perubatan veterinar manakala ahli-ahli panel bagi bidang strategik terdiri daripada pensyarah, jurutera dan pegawai kanan dari pelbagai skim perkhidmatan.

Calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA. Calon juga perlu mencapai had kecemerlangan (cut-off point) yang ditetapkan, mencapai rekod kehadiran kelas melebihi 90% dan tidak mempunyai rekod disiplin bagi membolehkan calon diteruskan penajaan ke universiti-universiti di luar negara.

Kesimpulan

Pemakluman awal ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal calon/pelajar akan senario permohonan, kriteria pemilihan, had penawaran dan saingan serta persediaan yang perlu dihadapi oleh setiap orang calon/pelajar bagi mendapatkan tawaran biasiswa Kerajaan yang diuruskan oleh JPA.

Tanggapan umum bahawa prestasi akademik adalah jaminan dan menjadi faktor penentu untuk calon-calon mendapatkan biasiswa khususnya untuk PILN adalah tidak tepat. Harapan JPA adalah agar calon yang tidak berjaya tidak membuat perbandingan dengan calon yang lain dan mempersoalkan kenapa mereka tidak ditawarkan biasiswa atas alasan mencapai prestasi akademik yang cemerlang.

Bersandarkan kepada faktor-faktor seperti bilangan permohonan yang tinggi di kalangan calon yang cemerlang serta bilangan biasiswa yang terhad, PILN 2010 dijangka akan terus menjadi amat kompetitif. JPA dengan ini menasihatkan calon serta ibu-bapa agar bersedia dan berusaha juga untuk mendapatkan sumber-sumber penajaan yang lain.

Maklumat

Maklumat umum berkaitan penawaran biasiswa Kerajaan/JPA juga boleh diperolehi dengan menghubungi talian 03-8885 3412 (lima talian) mulai 10 Mac 2010 atau hadir sendiri di kaunter-kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA di Lobi, Blok C1, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya mulai jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Putrajaya 3 Februari 2010

Sumber : Siaran Akhbar Jabatan Perkhidmatan Awam

17 thoughts on “Program Penajaan JPA 2010 Bagi Lulusan SPM 2009

  1. nialm, tolong jawab..@sesiapapun…

    1. adakah pelajar bukan stream sains tulen akn dikira sbg penerima biasiswa nasional jika result semuanya a+, atau biasiswa ini hanya untuk pelajar sains tulen sahaja? e.g> student yg x ambil biology tp still ambil physic n chemistry… n ambil engineering drawing…spt student sekolah teknik.

    2. bg PILN, adakah pelajar bkn stream sains tulen bolah memohon scholarship ini?

  2. Nilam,
    Seorang abang saya telah menerima tajaan SPC PILN MARA (sedang dalam program persediaan). Adakah saya layak untuk mendapat tempat bagi program PILN MARA walaupun sudah ada dalam keluarga saya menerima tajaan yang sama.
    Sekian. Terima kasih.

  3. Thy,
    Setakat ini belum ada maklumat terperinci mengenai tawaran Biasiswa Nasional ini. Walaupun begitu pada pendapat saya biasiswa ini akan dibuka untuk semua pelajar dari semua aliran.
    Bagi PILN pula memang terbuka untuk semua aliran, sebagai panduan anda boleh lihat syarat-syarat permohonan bagi tahun lepas.

    Mozum,
    Saya juga ada mendengar mengenai hanya seorang sahaja dalam keluarga yang boleh menerima biasiswa dalam satu-satu masa tetapi saya tidak dapat mengesahkannya. Saya cadang anda hubungi pihak MARA atau lihat syarat yang ditetapkan apabila permohonan untuk biasiswa ini dibuka nanti.

  4. nilam, saya kurang faham tentang kriteria n0.4 pemilihan piln..
    ‘ sosio ekonomi /latar belakang keluarga’
    adakah berkaitan dengan gaji ibu bapa? hubungan ibubapa dengan pihak jpa atau mara?

  5. Thy,
    Secara amnya yang saya ketahui adalah pendapatan keluarga, tanggungan, penempatan (luar bandar/bandar) dan seumpamanya.

  6. mengharap.. says:

    jika semua subjek a+ tetapi hanya bi shja b,adakah ada peluang utk mendapat piln @pidn..

  7. Mengharap,
    Bagi PILN memang sukar tetapi PIDN insyaAllah boleh.

  8. macam mana nak mohon pidn?
    jika kita dah mohon piln perlukah kite mohon pidn?

  9. bila tarikh untuk semak result piln??

  10. tulun….nak tau pasal program diploma kejuruteraan kore under jpa….

  11. Aznor,
    Permohonan untuk PIDN biasanya akan dibuka dalam bulan Jun. Anda perlu memohon jika gagal mendapat tajaan untuk PILN.

    Ain,
    Semakan panggilan temuduga telah boleh dibuat mulai 10 April 2010 di laman web JPA.

    Fikri,
    Saya tidak ada maklumat mengenai, cuma ini sahaja Latihan Dasar Pandang Ke Timur.

  12. bile kami blh tau kputusan piln??adakh sblom tarikh kmasokan ke matrik?metrik msok 10hb mei dan saya risau kalo lpskn metrik tp xdpt piln..macamane??

  13. to siti, keputusan PILN 2010 setahu saya 12/5 sebab inilah yg panel interview saya katakan…so depends on u samada nak percaya ke tak…i advice u daftar dulu matriks..tapi i tak tau apa yg akan berlaku selepas u dapat PILN n telah daftar matriks at the same time…so gd luck

    xxx

  14. mohon dimasa akan datang jpa keluarkan result piln sebelum matrik atau upu mendaftar.memanglah senang kalau beri jawapan daftarlah dulu.tapi jpa kena ingat nak mendaftar bukan pakai air liur aje.

  15. Kata keputusan piln akan dikeluarkan pada minggu ke-3 mei……Skrang pun dah minggu ke-3…tak keluar keluar lagi.

  16. camne nk apply pinjaman jpa?? bukan biasiswa tp pinjaman.. harap ada yang bolh bantu…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.