Abdul Hamid 71 Tahun Pelajar Baru USM

Seorang bekas tentera yang mencecah usia 71 tahun, nekad meneruskan pengajian untuk menggenggam segulung ijazah walaupun menyedari kelulusan itu mungkin tidak akan mengubah masa depannya.

The main gate at the main campus of USM

Tetapi, kerana minat mencari ilmu, Abdul Hamid Yunus, yang mempunyai lima cucu, sanggup bersengkang mata tiga tahun lagi apabila berdaftar sebagai pelajar baru Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Bekas Pegawai Waran I yang berasal dari Melaka, memilih pengajian Program Ilmu Kemanusiaan untuk mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera. Beliau adalah antara 3,500 pelajar baru USM bagi sesi 2008/2009.

Baginya yang menjadi pelajar tertua USM, faktor umur bukan penghalang untuk meneruskan cita-cita mencari ilmu. Malah, minat untuk belajar tidak pernah pudar dalam dirinya sejak zaman remaja.

“Saya tidak pernah kecewa kerana tidak dapat sambung belajar waktu muda dulu kerana masalah kewangan. Saya simpan hasrat itu hingga hari ini.

“Mencari ilmu satu perkara yang baik, jadi saya tolak ke tepi faktor umur demi mendapatkan ijazah. Jika USM beri peluang teruskan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi, saya tidak akan tolak,” katanya kepada pemberita selepas mendaftar di USM.

Turut menemani Abdul Hamid isterinya, Fatimah Ahmad, 61, serta anak sulungnya, Azhar, 39, dan cucunya, Aina Soraya Azhar, 11.

Abdul Hamid berkata, selepas bersara daripada tentera pada 1980, beliau belajar agama di Kelantan sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Malaya.

‘‘Saya sangat minat belajar dan tidak pernah merasa jemu melakukannya. Paling saya suka melalui pengalaman menjawab kertas peperiksaan kerana ia sungguh menyeronokkan.

‘‘Selepas menamatkan pengajian di USM ini, saya akan terus sambung belajar. Hasrat saya untuk belajar sampailah saya mati,” kata Abdul Hamid yang baru sahaja memperoleh Diploma Syariah dari Universiti Malaya (UM) cawangan Nilam Puri, Kelantan pada 14 Jun lalu.

Beliau berkata pendorong utama adalah keluarganya termasuk dua anak yang bekerja sebagai pengurus akaun dan guru.

“Pada mulanya isteri menentang hasrat saya untuk meneruskan pengajian di USM kerana sebelum ini sudah berada di Kelantan selama 10 tahun, tetapi akhirnya dia setuju.

“Kami terpaksa berjauhan lagi kali ini dan saya tahu dia juga seorang yang sukakan ilmu kerana sedang sibuk mengikuti pelbagai kelas agama di Kuala Lumpur,” katanya.

Abdul Hamid berkata, sebelum ini dia berhasrat menyambung pengajian ke Medan, Indonesia tetapi permohonannya tidak mendapat jawapan.

Zemanta Pixie

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.