Pesanan Untuk Pelajar Baru Universiti Sesi 2008

Tahniah dan selamat datang kepada pelajar baru institusi pengajian tinggi. Di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) saja dianggarkan lebih 50,000 pelajar baru mulai mendaftar pada hujung minggu lalu. Puluhan ribu lain mengikuti program diploma dan ijazah di lebih 400 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Universiti secara umumnya ialah institusi yang memberikan ilmu dalam pelbagai bidang, menjalankan penyelidikan ilmiah, dan menganugerahkan pelbagai peringkat ijazah. Secara harfiahnya, perkataan universiti juga adalah gabungan perkataan ‘universe’ dan ‘city’, yang terjemahannya bermaksud ‘bandar raya jagat’.

Ini boleh membawa maksud, universiti sebagai institusi yang di dalamnya terkandung segala ilmu keduniaan termasuklah sains, teknologi, sosial, kemanusiaan, dan pelbagai ilmu lain yang dapat diterbitkan oleh akal manusia.

Dengan reputasi sebegitu tinggi, mereka yang terpilih memasuki IPTA hendaklah menyedari bahawa universiti bukanlah tempat untuk bermain-main. Mulai hari pertama lagi, pelajar perlu menginsafi bahawa mereka adalah insan terpilih daripada ratusan ribu lepasan sekolah.

Jadi, sewajarnya mereka menanamkan tekad tidak mensia-siakan peluang yang diberikan, apatah lagi mengambil kira amanah dan harapan ibu bapa.

Justeru, mahasiswa perlu dengan serta-merta mengadaptasi corak kehidupan yang baru sebagai anggota alam intelektual. Seperti yang disebut terdahulu, di dalam kampus segala-galanya perlu dilihat sebagai sumber ilmu. Persoalan akademia bukan sekadar terjawab dalam bilik kuliah, bilik tutorial atau makmal semata-mata.

Dunia akademia bukan lagi tempat untuk berleka dan bermanja. Pelajar perlu segera bersikap profesional dan berani buat berani tanggung. Mereka perlu mencorak sendiri masa depan sebagai seorang intelektual.

Sebagai manusia terpilih, mereka hadir dengan kelayakan akademik yang hebat. Oleh itu, kesempatan untuk berada di dalam lingkungan yang hebat, sepatutnya digunakan untuk menjadi mahasiswa yang hebat dan bergraduat dengan kelulusan Kelas Pertama atau sekurang-kurangnya Kepujian Kelas Kedua Atas. Tidak wajar ada mahasiswa yang menerima GB (gagal dan diberhentikan). Alangkah ruginya diri sendiri, keluarga dan negara!

Kebanyakan IPTA bertungkus-lumus menyediakan persekitaran yang paling kondusif dalam bandar raya jagat masing-masing. Segala untuk dimanfaatkan dan pelajar perlu bersaing secara paraleli; bersaing dengan rakan mahasiswa, dan bersaing dengan ilmu yang digali itu sendiri.

Persaingan sebegini menuntut mahasiswa sentiasa dinamik dan bersedia. Semua program yang ditawarkan telah distrukturkan sedemikian rupa bagi membolehkan mereka menyusun strategi masing-masing untuk menguasai komponen kursus yang ditetapkan.

Satu realiti lain yang mesti sentiasa disedari pelajar ialah persaingan tidak terhenti setakat di universiti. Selepas bergraduat persaingan untuk memasarkan kepakaran masing-masing adalah lebih sengit. Anggaran kira-kira 50,000 lepasan IPT menganggur setiap tahun menunjukkan, peluang pekerjaan semakin terhad. Hanya graduan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik mampu bersaing jika dipanggil temu duga.

Justeru, pelajar perlu memastikan mereka memberi tumpuan kepada kursus yang mampu mereka kuasai dan menunjukkan pencapaian yang terbaik. Tidak semua kursus di universiti bersifat teoritikal semata-mata.

Ada banyak juga kursus bersifat vokasional dan ‘hands-on’ yang jika dikuasai, akan membantu pelajar berketrampilan dan berkelayakan memohon pekerjaan tertentu. Kursus seperti pengucapan awam dan kemahiran bahasa asing misalnya amat berguna dalam persaingan mendapatkan pekerjaan.

Kebanyakan IPTA turut menawarkan kursus kemahiran bahasa asing sebagai bahasa ketiga. Walaupun kursus itu tidak berstatus wajib, adalah wajar jika mahasiswa mengambil kesempatan untuk menguasai mana-mana bahasa yang ditawarkan.

Hal ini akan menjadi nilai tambah kepada ketrampilan mereka.

Artikel ini adalah hasil penulisan Dr. Sharifudin Lubis dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.