Peperiksaan SPM 2010

Bilangan Calon SPM 2010

Peperiksaan bertulis SPM 2010 akan berlangsung dari 23 November hingga 20 Disember 2010 ini. Seramai 467,970 orang calon akan menduduki SPM pada tahun ini di 3,594 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. Calon Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan adalah seramai 410,083 orang, calon MRSM, MTD dan Sekolah Perantis Tentera seramai 7,216 orang, calon Sekolah Menengah Agama Negeri seramai 8,127 orang, calon Sekolah Swasta dan Sekolah Menengah Agama Rakyat seramai 11,248 orang dan calon Persendirian Perseorangan seramai 31,296 orang.

Petugas Dan Pemeriksa SPM 2010

Sementara itu seramai 26,142 orang petugas peperiksaan dan 22,183 orang pemeriksa skrip jawapan calon telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan.

Jadual Waktu SPM 2010

Semua calon boleh merujuk kepada jadual waktu peperiksaan SPM 2010 untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung. Kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM mesti dibawa ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.

Persediaan Banjir

Semua calon juga diingatkan supaya bersedia dan membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang keadaan yang mungkin menghalang atau menyebabkan mereka tergendala untuk sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual. Pada masa yang sama, calon-calon diminta sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini melalui media massa sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan.

Sekolah-sekolah yang berisiko tinggi dilanda banjir telah diarah menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang lebih selamat. Segala bentuk bantuan termasuk tempat tinggal, makanan dan keperluan asas yang lain akan disalurkan segera kepada calon yang diancam banjir.

Bilik Gerakan SPM

Bagi memastikan calon dapat mengambil SPM dalam keadaan selamat, Kementerian Pelajaran akan bekerja rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. Bilik Gerakan SPM akan beroperasi di Lembaga Peperiksaan dan akan dibuka dari 23 November 2010 hingga 20 Disember 2010. Waktu operasi ialah dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Bilik Gerakan ini boleh dihubungi melalui nombor-nombor berikut: 03-8889 3551 / 03-8889 3582 / 03-8889 3601 / 03-8889 3520.

2 thoughts on “Peperiksaan SPM 2010

  1. […] This post was mentioned on Twitter by ePutra Nilam, Shaz Nilam. Shaz Nilam said: ePutra – Peperiksaan SPM 2010: Bilangan Calon SPM 2010 Peperiksaan bertulis SPM 2010 akan berlangsung da… http://bit.ly/aIMn9c […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.