Kementerian Pengajian Tinggi menerima 131,401 permohonan untuk mengisi 21,241 tempat ditawarkan di 24 politeknik seluruh negara, bagi sesi kemasukan Julai 2008. Jumlah ini meningkat berbanding 106,761 permohonan untuk mengisi 21,254 tempat bagi sesi kemasukan Julai tahun lalu.
Pengambilan kali ini membabitkan 13,626 pelajar baru untuk mengikuti pengajian peringkat diploma, 7,185 pringkat sijil dan 430 lagi program bridging. Jumlah ini termasuk penawaran 75 tempat kepada pelajar berkeperluan khas (bermasalah pendengaran) yang akan dipilih daripada 200 permohonan untuk mengikuti lima program sijil kemahiran di tiga politeknik.
Program terbabit ialah Sijil Kemahiran (Awam Pembinaan), Sijil Kemahiran (Penyenggaraan Mekanikal), Sijil Kemahiran Khas Politeknik (Hotel dan Katering), Sijil Kemahiran Khas Politeknik (Rekaan Fesyen dan Pakaian) serta Sijil Kemahiran Khas Politeknik (Reka Bentuk Grafik) di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak; Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor dan Politeknik Johor Bahru, Pasir Gudang, Johor.
Permohonan telah ditutup pada 17 April lalu dan semua calon boleh menyemak keputusannya menerusi laman web Politeknik mulai 12 Mei ini. Permohonan bagi kemasukan ke Politeknik sesi Januari 2009 boleh dibuat melalui laman web yang sama mulai hujung bulan Mei ini.
Calon yang berjaya memasuki sesi Julai 2008 ini akan mendaftar pada 7 Julai depan bagi politeknik di Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala 8 Julai di negeri lain. Bagaimanapun, calon yang gagal boleh mengemukakan rayuan secara online di laman web politeknik dalam tempoh 10 hari, mulai 12 Mei ini dan keputusannya boleh disemak mulai 5 Jun depan.
Sebanyak 47 program diploma dan 24 sijil ditawarkan pada sesi Julai ini. Program berkenaan termasuk Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah yang akan diperkenalkan di Politeknik Sultan Abdul Halim Muāadzam Shah, Kedah, membabitkan pengambilan 40 pelajar sulung.
Sementara itu calon yang memohon kemasukan program Diploma Penyenggaraan Pesawat di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hanya akan mengetahui keputusan mereka pada 5 Jun depan.