Institut Pengajian Tinggi Awam akan menerima 40,366 orang pelajar baru bagi sesi akademik 2009/2010 berbanding seramai 40,184 orang pada tahun lepas. Mereka ini telah ditawarkan tempat untuk mengikuti program pengajian lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/ Matrikulasi/ Asasi/ Diploma dan setaraf di semua IPTA seluruh negara.

Seramai 4,424 calon yang tersalah diberi tawaran oleh Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan sebahagian daripada 40,366 pemohon yang berjaya dalam pemilihan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2009/2010.

Mereka adalah antara 4,574 calon yang tersalah diberi tawaran oleh USM berikutan kesilapan teknikal pada 29 Mei lepas. Baki 150 pemohon yang tidak disenarai akan dipertimbangkan oleh pihak USM menerusi rayuan kerana pada dasarnya mereka telah melepasi pra-penilaian yang dibuat oleh pihak universiti.

Daripada 40,366 calon yang ditawarkan untuk mengikuti program ijazah pertama ini, 27,829 pemohon terdiri daripada kaum bumiputera manakala 10,116 Cina serta 2,421 pelajar India dan lain-lain kaum.

Kira-kira 65 peratus atau 26,200 daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di IPTA bagi sesi pengajian 2009/2010 yang bermula bulan depan, adalah wanita.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata masalah jumlah calon pelajar wanita jauh mengatasi lelaki ke IPTA tidak dapat dielakkan kerana pemilihan dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi.

“Walaupun perbezaan gender ini sering ditimbulkan setiap tahun, kita tidak mempunyai cara untuk mengatasinya. Dasar pengambilan pelajar berasaskan prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi menentukan nilai merit seseorang calon,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah pelajar lelaki melebihi wanita dalam bidang tertentu khususnya kejuruteraan kimia, sivil dan mekanikal.

“Pelajar perempuan selalunya meminati bidang yang ‘bersih’ seperti penyelidikan dalam makmal dan tidak membabitkan kegiatan lasak berbanding lelaki,” katanya.

Dr Radin Umar meminta semua calon yang ditawarkan ke IPTA supaya membuat pengesahan sama ada menerima atau menolak tawaran itu selewat-lewatnya pada atau sebelum 25 Jun ini, bagi memudahkan pihaknya memproses permohonan rayuan oleh calon yang gagal.

Maklumat lanjut boleh disemak di Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan Ke IPTA 2009 Lepasan STPM & Setaraf dan Permohonan e-Rayuan Ke IPTA 2009 Lepasan STPM Dan Setaraf.

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!

Related posts

Sponsors