Permohonan Ke IPTA Sesi 2008 Matrikulasi

Permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Program Asasi Sains Universiti Malaysia (PASUM) dan Asasi UiTM fasa 1 telah pun ditutup pada 10 Januari yang lalu.

Fasa 2 permohonan bagi kategori Matrikulasi KPM, PASUM dan Asasi UiTM ini telah pun mula dibuka mulai 21 Mei 2008 dan akan ditutup pada 27 Mei 2008. Fasa 2 ini hanya bagi pemohon Lepasan Matrikulasi KPM, PASUM dan Asasi UiTM yang sedang menunggu keputusan Semester Akhir sahaja.

Fasa 2 ini memberi peluang kepada para pemohon untuk membuat semakan dan mengemaskini permohonan dengan maklumat yang terbaru. Walaupun begitu perlu diingatkan bahawa pemohon hanya dibenarkan melakukan kemaskini sebanyak tiga kali sahaja.

Keputusan permohonan kemasukan ke IPTA bagi kategori ini dijangka akan diumumkan pada minggu ke 3 bulan Jun nanti. Manakala pendaftaran pelajar ke IPTA pula dijangka pada 29 Jun 2008. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi akan mengumumkan tarikh yang sebenarnya di laman web rasmi mereka di http://www.mohe.gov.my. Maklumat lanjut berkaitan dengan permohonan ke IPTA bagi kategori ini juga boleh didapati di laman web yang sama.

Berikut adalah penjelasan kepada beberapa persoalan yang kerap ditanya berkaitan permohonan ini;

  1. Adakah kata laluan perlu dimasukkan semasa proses permohonan dan apakah bentuk format yang boleh dimasukkan dalam ruangan kata laluan?

    Semasa proses permohonan, anda diwajibkan memasukkan tiga elemen iaitu Nombor Kad Pengenalan, Unik ID dan Kata Laluan. Kata Laluan perlulah ringkas iaitu terdiri daripada enam(6) hingga lapan (8) aksara ‘alphanumeric’ sahaja supaya ianya mudah untuk diingati oleh anda.

  2. Sekiranya saya kehilangan Nombor Unik ID setelah membuat permohonan, apakah langkah atau cara terbaik untuk saya melaksanakan proses kemas kini atau semakan permohonan?

    Sekiranya anda kehilangan Nombor Unik ID semasa permohonan Fasa 1 dan Fasa 2, anda boleh menggunakan Kata Laluan yang telah didaftarkan semasa permohonan awal untuk membuat proses kemas kini maklumat permohonan atau semakan permohonan.

    Sekiranya anda kehilangan Nombor Unik ID dan tidak mengingati Kata Laluan, anda perlu memaklumkan kepada kaunselor Kolej Matrikulasi, Pegawai PASUM dan Koordinator Asasi UiTM untuk penyelarasan dengan pihak BPKP.

  3. Saya membeli Nombor Unik ID dan mendapati Nombor Unik ID yang dibeli di BSN sama dengan rakan saya, apakah terdapat sebarang kesilapan yang mungkin timbul di BSN dan apakah ciri-ciri keselamatan yang diterapkan dalam Aplikasi Dalam Talian ini?

    Tiada sebarang kesilapan Nombor Unik ID yang dihasilkan oleh BSN walaupun anda mendapati Nombor Unik ID anda sama dengan rakan anda, dan ini adalah kerana semua penghasilan Nombor Unik ID adalah berdasarkan Nombor Kad Pengenalan.

    Bagi mengemukakan permohonan, anda perlu memasukkan Nombor Kad Pengenalan, Nombor Unik ID dan Kata Laluan. Ini menunjukkan anda dan rakan anda yang mempunyai Nombor Unik ID yang sama akan memasukkan Nombor Kad Pengenalan dan Kata Laluan yang berbeza.

  4. Bagaimanakah caranya untuk saya mengetahui program pengajian yang dipilih adalah program pengajian yang ada temu duga?

    Program pengajian yang ada temu duga boleh dikenal pasti dengan adanya tanda (#) di bahagian akhir nama program.
    Contoh adalah seperti berikut:- KH03 – Sarjana Muda Senibina #

  5. Adakah saya perlu menghantar apa-apa dokumen seperti salinan Kad Pengenalan, Slip Keputusan dan sebagainya kepada IPTA atau BPKP?

    Anda tidak perlu menghantar apa-apa dokumen kepada IPTA atau BPKP walaupun memilih program pengajian yang ada temu duga. Walau bagaimanapun, anda perlu mengemukakan dokumen/ sijil asal ketika menghadiri temu duga.

  6. Saya ingin mencetak semua maklumat yang telah dimasukkan, adakah saya boleh mencetak maklumat permohonan semasa mengisi maklumat?

    Maklumat permohonan hanya boleh dicetak setelah anda selesai iaitu setelah klik butang “Sah & Hantar”. Cetakan daripada laman SEMAKAN dan laman SELESAI PERMOHONAN/KEMASKINI sahaja yang boleh dicetak dan dijadikan bukti dan rujukan bahawa permohonan anda telah selamat diterima oleh sistem.

    Maklumat permohonan yang dicetak selain daripada laman ini, TIDAK boleh dijadikan bukti permohonan kemasukan ke IPTA telah berjaya dilakukan oleh anda.

  7. Bagaimanakah saya boleh ketahui yang maklumat saya telah selamat diterima oleh sistem?

    Pemohon boleh mengetahui sama ada maklumat telah diterima atau belum dengan memastikan setelah klik butang “Sah & Hantar”, paparan “Selesai” dipaparkan. Selain itu, pemohon juga boleh membuat Semakan Permohonan bagi mengetahui status penerimaan sistem atas maklumat yang telah dihantar.

  8. Semasa permohonan Fasa 1, saya belum menduduki peperiksaan semester kedua untuk memperolehi keputusan akhir Matrikulasi/ KPM/ PASUM, oleh itu bagaimanakah saya ingin membuat pilihan program pengajian bagi kemasukan ke IPTA?

    Anda boleh membuat pilihan program pengajian semasa permohonan Fasa 1 berdasarkan keputusan Semester Pertama dan setelah keputusan semester akhir diketahui, anda boleh membuat pengemaskinian pilihan program pengajian semasa permohonan Fasa 2 dibuka berdasarkan keputusan sebenar.

    Perlu diingatkan program pengajian yang mempunyai ujian dan temu duga tidak boleh diubah semasa Fasa 2 sekiranya calon telah membuat pilihan program bertemu duga semasa Fasa 1.

  9. Adakah pemohon wajib menduduki ujian MEdSI dan Temu duga dan bilakah Ujian MEdSI dan Temu Duga dijalankan bagi Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan?

    Calon yang ingin mengikuti Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan diwajibkan menduduki ujian MEdSI dan temu duga yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Hanya calon yang memenuhi Syarat Am serta Syarat Khas program sahaja akan dipanggil untuk menghadiri ujian MEdSI.

    Hebahan mengenai ujian MEdSI boleh disemak mulai 10 April 2008 di laman web Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) www.mpm.edu.my

2 thoughts on “Permohonan Ke IPTA Sesi 2008 Matrikulasi

  1. oh thanks..baru dpt tahu keputusan kemasukkan ke ipta minggu ke-3 bulan 6 ye..

  2. efa,

    Sentiasa semak laman web Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengetahui tarikh keputusan akan dikeluarkan.